- Kain batik (dalam bulatan) diletakkan di atas bumbung garaj.
- Aziz menunjukkan lokasi kain batik dijumpai.
Kejadian berkenaan dikatakan berpunca apabila sehelai kain batik yang ditemui di perkarangan rumah sewa yang baru siap dibina pemiliknya di Kampung Batu 4 ½ itu dibakar.
Kakitangan awam, Aziz Othman berkata, selepas dia menemui pengamal perubatan tradisional berkenaan barulah dia dan isterinya dapat mengenalpasti punca sebenar kejadian lembaga bertenggek dan membuat bunyi seperti cakaran pada bumbung rumahnya.
Kata pengamal perubatan berkenaan, kemungkinan mereka ada mengganggu barangan milik 'penunggu' itu.
"Semua ini berpunca dari kesalahan kami. Ketika mula-mula masuk ke rumah, saya dan isteri mengambil keputusan untuk membersihkan rumah yang kami sewa itu terlebih dahulu kerana ia baru siap dibina.
"Ketika sedang membersihkan kawasan di persekitaran rumah, saya terjumpa kain batik hitam yang sudah lusuh di kaki lima rumah berhampiran pokok pisang dan membersihkan rumah dengan menggunakan kain itu," katanya.
Bakar kain buruk
Katanya, setelah selesai dia menyidai kain itu di ampaian.
"Apabila kain itu sudah kering, isteri saya mendapati kain itu sudah buruk lalu membakarnya.
"Sejak kain batik itu di bakar, suara mengilai dan jelmaan pontianak itu mula mengganggu kami serumah,” katanya.
Menurut Aziz, gangguan berkenaan kemungkinan makhluk halus yang digelar pontianak.
Difahamkan makhluk berkenaan mula mengganggu mereka selepas dua bulan mendiami rumah baru sewa itu, selepas rumah lama mereka musnah akibat ribut.
Pada masa-masa tertentu, ia akan menyerupai penduduk kampung dan berjalan bersendirian terutamanya sebelah malam.
Dua bulan pertama tinggal di rumah itu amatlah memeritkan Aziz kerana diganggu lembaga itu yang juga pernah menjelma seolah-olah perempuan berambut panjang dan matanya seperti bernyala kemerahan.
Lembaga berkenaan juga pernah dilihat berada pada bahagian atas bumbung rumah Aziz.
Katanya, selepas diberitahu punca sebenarnya kejadian oleh pengamal perubatan tradisional itu, mereka terus berikhtiar menyelesaikan masalah gangguan itu.
Cari alternatif
Menurutnya, bagi mengatasi masalah itu, pengamal perubatan tradisional itu menyarankan mereka mencari kain batik yang seakan-akan sama pernah dibakar isterinya sebelum ini.
"Kami berjumpa semula pengamal perubatan tradisional itu dan dia mengarahkan kami mengelilingi rumah beberapa kali pada waktu sama.
"Keadaan menjadi agak kronik lembaga itu mengganggu saya semula minggu lalu sebelum dan meletakkan kain berkenaan di atas bumbung garaj kereta," katanya.
Sepanjang mendapatkan rawatan berkenaan, hanya kepada ALLAH kami berserah dan meminta menjauhkan segala perkara buruk dan gangguan syaitan terhadap rumah yang kami sewa ini.
"Alhamdulillah, kain itu kemudiannya saya letakkan di atas bumbung rumah dan membiarkan ia reput dan gangguan suara perempuan meminta tolong serta bunyi cakaran pontianak di atas bumbung rumah tidak lagi kedengaran,” katanya.
Menurut Aziz, lembaga itu masih berkeliaran di kawasan hutan berdekatan jalan besar Sungai Ular bagaimanapun tidak mengganggu penduduk kampung.
"Pernah dikatakan empat penduduk kampung terserempak lembaga itu berjalan sendirian di tepi jalan bagaimanapun terbang setelah ditegur penduduk kampung," katanya.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan Aziz pernah terserempak lembaga berkenaan berada di atas bumbung rumahnya ketika menyimpan motosikal kuasa tingginya selepas curiga terdengar suara wanita mengilai kuat di hadapan rumah.
Sumber